Konsep keadilan di dalam Islam
Allah SWT berfirman:
يٰٓأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا كُونُوا قَوّٰمِينَ لِلَّهِ شُهَدَآءَ بِالْقِسْطِ ۖ وَلَا يَجْرِمَنَّكُمْ شَنَئَانُ قَوْمٍ عَلٰىٓ أَلَّا تَعْدِلُوا ۚ اعْدِلُوا هُوَ أَقْرَبُ لِلتَّقْوٰى ۖ وَاتَّقُوا اللَّهَ ۚ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌۢ بِمَا تَعْمَلُونَ
"Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan."
(QS. Al-Ma'idah 5: Ayat 8)
Dalam mendefinisikan keadilan, antara definisi paling popular yang biasa kita dengar adalah "Keadilan adalah meletakkan sesuatu pada tempatnya." Dalam erti kata lain, definisi keadilan yang suatu masa dulu menyamaratakan kepada semua tempat sudah tidak lagi relevan dengan definisi umum ini.
Islam adalah agama yang sangat mementingkan keadilan. Yang mana keadilan di dalam Islam hendaklah diletakkan dengan betul di semua tempat dan semua perkara yang berkaitan dengan kehidupan manusia. Imam Al Mawardi menyifatkan bahawa, keadilan terkandung didalamnya sikap yang benar, terjamin keimanan, jauh dari sesuatu yang haram, tenang ketika marah, dan berterusan menjaga maruah di dalam urusan agama dan urusan dunia.
Oleh yang demikian, kesyumulan Islam ini merangkumi semua aspek kehidupan untuk memberikan keadilan yang sewajarnya dalam situasi dan masa tertentu. Keadilan di dalam muamalat adalah dengan tidak mengambil hak pihak yang lain secara batil bagi seperti mengurangi timbangan dalam jualan. Begitu juga dalam aspek sosial yang mana sesuatu kaum diberikan hak sewajarnya sama seperti kaum yang lain yang tinggal bersama dalam sesebuah negara. Apatah lagi dalam undang-undang, keadilan menjatuhkan hukuman kepada pesalah tidak mengenal status kedudukan dan juga pangkat seseorang. Inilah keadilan yang dibawakan di dalam Islam.
Dalam sesetengah perkara, Islam dituduh tidak adil jika hanya dilihat sesuatu hukum secara luaran tanpa berfikir selapis lagi atas dasar apa hukum itu diturunkan oleh Allah kepada manusia. Sebagai contoh, Islam dituduh tidak adil dalam pemberian harta pusaka yang mana orang lelaki mendapat bahagian yang lebih berbanding perempuan. Akan tetapi hukum Islam ditetapkan sebegini rupa kerana Allah telah memberikan taklifan dan tanggungjawab yang besar pada kaum lelaki untuk menyara wanita di bawah tanggungannya dan menggunakan harta tersebut bagi menyara wanita-wanita ini.
Agama ini melarang manusia bersikap 'double standard' yang mana istilah ini jelas sudah menunjukkan ketidakadilan sesama manusia. Keadilan yang dibawakan oleh Islam bukan sahaja memberi keadilan kepada orang Islam sahaja, malah memberikan keadilan kepada bukan Islam. Orang bukan Islam bebas mengamalkan agama masing-masing didalam negara Islam dan tidak memaksa mereka ini memeluk Islam. Kelonggaran ini menunjukkan Islam bukanlah suatu ajaran bersifat ekstrimis sepertimana yang dicanangkan oleh media barat. Keterbukaan ini jelas sebagaimana dalam peristiwa pembukaan Kota Mekah yang mana orang bukan Islam yang dijamin keamanan oleh orang Islam diberikan hak untuk tinggal didalam Mekah dengan dijamin nyawa dan hartanya terpelihara oleh pemerintah, malah boleh mengamalkan agama mereka sendiri.
Keterbukaan ini memberikan hikmah yang membawa lebih ramai orang untuk memeluk Islam atas rahmat yang diberikan kepada mereka. Inilah keindahan rahmat Islam yang dibawakan oleh baginda Rasulullah (selawat dan salam ke atas baginda) yang memberikan rahmat dan keadilan kepada manusia, bukan sahaja yang menerima Islam, malah yang bukan Islam. Atas akhlak ini maka Islam akan dipandang dan digambarkan sebagai agama yang bersifat sejagat kepada semua umat manusia.
Ust. Abdul Halim Ismail
17 Januari 2018,
28 Rabiul Akhir 1439H
Bukit Katil, Melaka.

0 Comments